Monday, January 3, 2011

Rahsia Kekal CINTA

Bercinta mudah. Semudah melafazkan kata-kata "I love you", atau "Saya jatuh cinta dengan awak". Mudahkan? Sekelip mata, kita mungkin sahaja sudah dapat meluahkannya. Namun, mempertahankan cinta bukan sesuatu yang mudah. tidak segampang waktu hendak memilikinya. Jadi, jomlah selami apa rahsia kekal cinta.

(1) YAKIN PADA KETENTUAN ILLAHI
Allah swt menciptakan beberapa perkara itu sepasang. Mata kita ada dua. Telinga sepasang. Malah, hampir semua dalam badan kita saling berpasangan. Kaki. Tangan. Organ dalaman. Begitu juga, lelaki dan perempuan. Berdirinya seorang lelaki di puncak dunia, cuba lihat siapa berada di sisinya. Bukankah seorang perempuan? Boleh jadi, seorang ibu ataupun tidak seorang isteri. Seorang raja yang baik, pasti didampingi seorang maharani bergelar sang wanita. Itulah kejadiannya.
Hendak mengekalkan cinta? Jadi, yakinilah bahawa andai dia (kekasih) adalah lelaki atau perempuan yang tercipta untuk kita. Tanamkan perasaan yakin dalam diri. Sekalipun dia jauh dari kita: beribu-ribu batu jauhnya, tapi bila ada keyakinan bahawa dia memang untuk kita, dia takkan pernah lari ataupun pergi. Yakini sahaja ketentuan Illahi. Bercintalah dahulu dengan Sang Pencipta. Insyaallah, kekal bahagia.
(2) CINTAI DIRI SENDIRI
Kemudian, belajarlah pula mencintai diri sendiri kerana dalam diri kita ada sekeping hati. Hati itu dalam. Hati itu banyak cerita. Hati itulah yang menimbangkan baik buruk sesuatu perkara. Kadang-kadang, bila hati suka: dia akan mengajar kita untuk sentiasa gembira. Namun apabila hati tidak suka, dia akan membawa kita membenci setiap perkara itu.
Hati akan mengajar kita memilih. Jadi, apabila kita gagal bercinta dengan diri sendiri: dengan deria hati kita, maka kita akan menjadi gagal dalam tujuan kita sendiri. Kemungkinan kita akan menzalimi diri kita semata-mata kerana cinta. Jadi, sebelum bercinta, cintailah diri anda. Pujuk hati kecil anda. Jinakkan ia. Kita pasti bertemu nikmat cinta yang akan kekal lama.
(3) RESTU IBU BAPA
Kita sentiasa diajar bahawa "kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah tiada akhirnya". Apabila bercinta, berterus teranglah kepada mereka. Mereka mungkin akan marah. Mereka mungkin akan bising berjela-jela. Tapi, apabila kita jujur pada ibu bapa, mereka akan selalu ada. Malah mungkin akan berkongsi rahsia. Ibu dan ayah, hasrat mereka hanya satu jika hendak berbicara soal anak-anak. Mereka hanya mahukan yang terbaik untuk zuriat tercinta.
Selalulah beringat bahawa dalam pekik amarah sang ibu terselit berjuta nasihat dan pedoman hidup untuk kita adaptasi dalam kehidupan kita, dalam cinta baru kita. Ingatlah juga bahawa dalam jerkahan sang ayah yang bingit ada tersimpan beribu doa yang mengharapkan semua yang terbaik untuk kita. Apabila bercinta, mintalah restu mereka. Selamilah pandangan mereka kerana mereka lebih tahu, lebih dahulu merasa. Fikir-fikirkanlah!
(4) PERCAYAKAN SI DIA
Inilah yang selalu orang lupa ketika hangat bercinta. Inilah punca cinta mula sirna. Percaya. Percayalah pada mereka sekiranya mereka berkata mereka akan setia. Sekiranya ada curiga, selamilah dahulu kebenarannya. Jangan jadikannya alasan untuk saling bertekak dan marah membabi buta. Yang sayang, hilang entah ke mana. Yang timbulnya rasa benci yang menyakitkan.
Ada orang bercinta, berjauhan. Ada yang saling berdampingan. Namun, harus diingatkan bahawa jauh atau dekat hanyalah ukuran. Cinta yang berkekalan adalah sejauhmana kita percaya pada pasangan. Percaya ketika kita jauh. Percaya ketika kita dekat. Percaya adalah rahsia. Tapi jangan percaya membabi buta hingga tergadai kehormatan kita. Cinta bukan berkisar tentang nafsu serakah. Betapa berahinya kita bila bersama tapi cinta adalah betapa kita saling menghargai kerana dipertemukan dalam ruangan kasih dan sayang. Ingat?
(5) DENGAR PENDAPAT KAWAN
Ramai menyalahkan frasa di atas sebagai salah dan tidak masuk akal! Kata mereka, dalam urusan cinta, jangan sesekali mendengar apa kata sang teman. Itu kesilapan besar!
Kawan yang baik adalah kawan yang dapat menjadi cermin diri kita sendiri. Yang akan menegur bila kita salah tapi tidak akan memuji kita melangit bila kita benar dan berjaya. Kawan sejati adalah yang biasa-biasa saja. Dia ketawa bila kita gembira. Dia akan berduka bila kita tidak langsung tersenyum seharian. Dia akan mencari jalan ketika kita memerlukan penyelesaian. Dan yang pasti, kawan sejati takkan meninggalkan kita sekalipun cinta kita berakhir.
Begitu juga dalam hal cinta. Kadangkala sewaktu kita bercinta, mereka inilah yang lebih mengenali pasangan kita kerana mereka membuka mata seluas-luasnya demi kebaikan kita. Mereka akan meneliti. Mengkaji. Malah, mereka akan mencari sekelumitpun rahsia sang kekasih semata-mata untuk memastikan kita benar-benar bahagia. Itulah kawan sejati! Jadi, bila mereka berbicara tentang kekasih hati kita, jangan melenting dan jangan sesekali katakan bahawa dia tidak berhak menilai cinta kalian. Ingatlah, sahabat sejati akan menjadi cermin diri. Bila kita buta, mereka akan melihat untuk kita. Bila kita lupa, mereka akan selalu ingatkan kita.
(6) JANGAN LUPA DIRI
Inginkan perhubungan cinta yang berkekalan: kekasih: suami dan isteri: mahupun dalam ikatan kekeluargaan? Janganlah sesekali lupa diri. Apabila seorang anak Adam meninggalkan dunia, hanya tiga perkara yang akan dibawa, Amal ibadat :Sedekah jariah: Doa anak-anak yang soleh. Bukannya kebahagiaan yang dinikmati bersama. Cinta bukan segala-galanya tapi semuanya hendaklah berkisarkan cinta. Cinta pada Pencipta. Cinta pada ibu bapa. Pelbagai lagi cabang cinta. Namun jangan pernah riak kerana cinta.
Ramai kekasih terpisah kerana terlalu taksub bernadikan cinta. Rumah tangga goyah tidak berjaya kerana terlalu cinta. Keluarga pecah belah akibat terasa cinta sudah terlalu sempurna. Kehebatan cinta diagungkan sebesar dunia. Dicanang sini dan sana.
Hendak kekal dalam cinta, rahsianya mudah. Jangan lupa diri. Jangan mudah puas dengan nikmat cinta yang dirasa. Sebaliknya, teruslah menyemai cinta. Suburkan ia sentiasa dengan baja terbaik. Baja yang disemai berterusan tanpa henti. Para usahawan berjaya dunia berpegang pada satu prinsip nyata yang buat mereka kekal dalam pasaran jaya. Tahu apa?
Kerana mereka percaya "Kekayaan yang berjuta-juta belum apa sangat ertinya, sebaliknya kekal untung dalam pasaran dunia bermaksud kerja keras perlu sentiasa bertambah dan tambah serta tambah lagi". Mereka tidak pernah berpuas hati. Bagi mereka, rezeki secupak akan jadi segantang dan bergantang-gantang jika terus berusaha membina kejayaan abadi. Begitulah adat cinta. Cinta yang kekal: cinta yang akan menang adalah cinta yang terus diusahakan kesuburannya.

Apapun rahsia cinta kekal selamanya terpulanglah pada takdir Yang Maha Esa dan juga diri kita. Allah swt yang menentukan kejadian sesuatu perkara dan kita sebagai manusia, perlu terus berusaha. Usahalah untuk cinta anda! Usahalah demi pengekalan cinta yang lama dan berpanjangan. Salam cinta dan teruslah berusaha!

No comments:

Post a Comment